KKR mohon peruntukan lebih dalam Belanjawan 2026 untuk selenggara jalan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan peruntukan tambahan untuk menambah baik infrastruktur negara, terutamanya lebuh raya utama dan jalan persekutuan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan perkara itu menjadi keutamaan dalam permohonan belanjawan tahun depan.

Beliau berkata KKR telah lama memohon pertambahan peruntukan bagi tujuan penyelenggaraan jalan.

“Kami memerlukan peruntukan lebih besar daripada yang biasa diterima untuk baik pulih jalan yang rosak dan usang,“ katanya.

Nanta menekankan bukan hanya jalan persekutuan, tetapi semua jalan di seluruh negara perlu diberi perhatian serius.

Beliau berkata demikian selepas Sesi Dialog Belanjawan 2026 KKR bersama 200 penggiat industri pembinaan di Kompleks Kerja Raya.

Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Azman Ibrahim turut hadir dalam sesi tersebut.

Nanta juga membincangkan rancangan menambah baik lebuh raya dan jalan rosak, termasuk Jalan Raya Timur-Barat (JRTB).

Dialog itu bertujuan mendapatkan cadangan industri bagi memastikan Belanjawan 2026 holistik dan responsif.

Nanta menegaskan komitmen KKR dalam memperkasa pembangunan infrastruktur selaras aspirasi kerajaan.

Beliau dijangka bertemu Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 22 Ogos bagi membincangkan cadangan utama KKR. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *