KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus membenarkan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi kepada peniaga makanan dan minuman mikro serta kecil.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun lepas.
Beliau berkata pindaan akan dibuat terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 bagi memberi pengiktirafan rasmi kepada golongan tersebut.
“Kabinet dan Kerajaan MADANI akan terus membenarkan penggunaan LPG bersubsidi kepada peniaga mikro dan kecil makanan dan minuman,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Armizan menegaskan isu bebanan kepada peniaga kecil dan penjaja makanan tidak timbul kerana mereka tetap mendapat manfaat subsidi.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai tindakan KPDN berhubung kenaikan harga LPG yang membebankan peniaga luar bandar.
Sesi libat urus sedang dijalankan sehingga 31 Oktober bagi mendapatkan pandangan pelbagai pihak mengenai pindaan tersebut.
Mekanisme kawalan juga akan diwujudkan bagi mengelakkan ketirisan seperti pengalihan gas bersubsidi untuk kegunaan komersial. – Bernama