Kerajaan kaji undang-undang khusus tangani cabaran AI – Azalina

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji keperluan undang-undang khusus berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani cabaran perundangan yang timbul.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan sistem sedia ada perlu diperbaiki kerana isu AI melibatkan pendekatan berbeza termasuk beban pembuktian dan integriti dokumen.

“Kini, semua dokumen dalam talian boleh diubah suai, menjadikan ketulenan kandungan satu cabaran besar,” katanya selepas pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Malaysia mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) 2025-2030 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Beliau menekankan mahkamah perlu yakin menerima bukti berasaskan AI kerana teknologi ini mampu menghasilkan visual atau audio palsu yang sukar dibezakan.

“Ini memerlukan perhatian serius bagi melindungi orang awam daripada penipuan,” tambahnya.

Mengenai Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik, Azalina menjelaskan ia masih dalam peringkat perbincangan dan tertakluk kepada persetujuan parti politik.

“Kita ada tiga sesi Parlimen setahun, dan proses ini masih berjalan,” ujarnya.

Terkait isu majikan menyimpan pasport pekerja, beliau menegaskan tindakan itu dilarang di bawah undang-undang Malaysia.

“Majikan perlu berlaku adil dan mengembalikan pasport pekerja,” tegasnya sambil menekankan hak asasi pekerja asing juga dilindungi.

Dalam ucaptamanya, Azalina menyatakan NAPBHR 2025-2030 merupakan rangka kerja nasional pertama bagi integrasi hak asasi manusia dalam perniagaan.

“Pelan ini selari dengan Prinsip Panduan PBB dan memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

NAPBHR dibangunkan melalui libat urus sejak 2019 melibatkan pelbagai pihak termasuk masyarakat sivil dan pemimpin industri. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *