Dewan Rakyat lulus usul pindaan peraturan mesyuarat

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Penyata Jawatankuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat untuk meminda beberapa peruntukan dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Usul tersebut dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pindaan itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Azalina berkata cadangan pindaan bertujuan meningkatkan tahap akauntabiliti badan eksekutif kepada Dewan Rakyat.

Pindaan ini juga berikutan pengenalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.

“Ia juga bagi mengukuhkan taraf Jawatankuasa Pilihan Khas kepada Jawatankuasa Pilihan Tetap,” katanya.

Beliau menambah pindaan ini memasukkan beberapa amalan dan petua yang telah diikuti di Dewan Rakyat dalam Peraturan Mesyuarat.

Tujuan lain adalah untuk memudahkan Ahli Parlimen dalam urusan Dewan Rakyat.

Mesyuarat Jawatankuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat pada 23 Julai lepas bersetuju meminda beberapa perkara.

Antaranya penamaan anggota dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 oleh Jawatankuasa Pemilih.

Pindaan lain termasuk keperluan notis satu hari untuk merujuk rang undang-undang kepada Jawatankuasa Pilihan.

Ia juga melibatkan prosedur memanggil semula mesyuarat jika dewan tidak cukup korum. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *