Bendera terbalik: TPR semak kertas siasatan, rujuk ke Putrajaya

KEPALA BATAS: Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Pulau Pinang sedang menyemak kertas siasatan berhubung kejadian Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di hadapan sebuah kedai perkakasan di Jalan Bertam Perdana.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abd Rahman berkata kertas siasatan itu dihantar ke pejabat TPR pada pukul 2.30 petang tadi.

“Siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk kepada TPR untuk semakan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah bahawa kertas siasatan akan dibawa ke Putrajaya bagi mendapatkan arahan lanjut.

Pemilik kedai berusia 59 tahun itu dilaporkan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

Ia turut melibatkan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 21 saat memaparkan dua lelaki di kedai perkakasan didakwa memasang bendera secara terbalik.

Kejadian itu mencetuskan kecaman meluas dalam kalangan warganet.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membuat laporan polis. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *