Warga Thailand ditahan imigresen selepas dua hari bekerja di rumah urut

IPOH: Seorang wanita warga Thailand berusia 25 tahun ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas baru dua hari bekerja di sebuah rumah urut di Tambun.

Wanita itu berjaya mengumpul komisen sekitar RM100 sebelum ditahan dalam serbuan Op Gegar pada malam tadi.

Dia antara tiga suspek warga Thailand yang ditahan dalam operasi melibatkan JIM Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.

Pengarah JIM Perak Datuk James Lee berkata serbuan serentak di 13 lokasi sekitar Ipoh itu menahan 54 wanita warga asing berumur 20 hingga 35 tahun.

Seramai 48 daripadanya warga Thailand, dua warga Indonesia dan empat warga Vietnam.

Kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Lee berkata operasi itu fokus membanteras kegiatan tidak bermoral di pusat urut selepas 14 hari risikan dijalankan.

“Kebanyakan mereka datang menggunakan pas lawatan sosial dan melakukan kesalahan bekerja tanpa kebenaran,“ katanya.

Seramai 91 pegawai dan anggota JIM terlibat dalam operasi tersebut.

Beberapa suspek didakwa menawarkan perkhidmatan dibawa pulang ke rumah pelanggan.

Mereka juga menggunakan TikTok dan WhatsApp untuk menarik pelanggan dengan bayaran RM50 hingga RM100 setiap perkhidmatan.

Seramai 54 pelanggan lelaki tempatan dan warga asing turut ditahan untuk membantu siasatan.

Kesemua suspek dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh untuk siasatan lanjut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *