KUALA LUMPUR: Program Bakat Jangka Pendek Semikonduktor Belanda-Asia Tenggara (NL-SEA) yang julung kali diadakan bermula di sini pada Isnin, menghimpunkan 52 pelajar cemerlang STEM dari enam negara Asia Tenggara untuk mengikuti latihan intensif mengenai industri semikonduktor.
Inisiatif berimpak tinggi yang berlangsung hingga 22 Ogos itu menandakan langkah penting ke arah memperkukuh saluran bakat dalam ekosistem semikonduktor yang pesat berkembang di rantau ini.
Pelajar dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Vietnam, Filipina dan Thailand akan mengikuti kurikulum komprehensif yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai semikonduktor – daripada reka bentuk IC dan pembuatan cip hingga ke kejuruteraan sistem, teknologi baharu dan kerjasama antarabangsa.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata program itu menjadi platform strategik untuk menggalakkan kerjasama lebih erat antara Belanda dan Asia Tenggara dalam perkongsian ilmu, R&D dan peluang perniagaan.
“Asia Tenggara boleh mempelajari pengalaman Belanda dalam membangunkan ekosistem semikonduktor yang kukuh dan sesuai dengan rantaian nilai global, sekali gus membina tenaga kerja semikonduktor mahir di rantau ini,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Duta Besar Belanda ke Malaysia Pieter Blusse, berkata program yang digerakkan secara kolektif oleh kerajaan Belanda, pemain industri dan institusi akademik itu bertujuan memperkukuh lagi kerjasama antara Belanda dan Asia Tenggara serta menyokong pembangunan kapasiti serantau dalam pembangunan bakat semikonduktor.
“Ia juga menggalakkan pertukaran akademik dan pendedahan industri dengan institusi pengetahuan tempatan, serta memudahkan akses bakat Asia Tenggara ke dalam ekosistem inovasi Belanda,” katanya.
Belanda, yang menjadi pusat ekosistem semikonduktor terkemuka dunia dengan syarikat seperti ASML, NXP, ASM dan BESI, komited membangunkan tenaga kerja melalui strategi pengukuhan nasional dikenali sebagai Project Beethoven.
Dalam masa sama, Asia Tenggara dengan ekonomi dinamik, populasi muda dan persekitaran berasaskan inovasi menawarkan kerjasama strategik untuk memenuhi permintaan global industri yang semakin meningkat.
Pasaran semikonduktor Belanda memainkan peranan penting dalam EU, merangkumi kira-kira sembilan peratus daripada pasaran global. Dengan perolehan tahunan melebihi €30 bilion, pasaran itu dijangka berkembang sebanyak 8.61 peratus dari 2024 hingga 2029, dipacu permintaan tinggi untuk AI, 5G dan cip berprestasi tinggi dalam teknologi baharu.
Sektor semikonduktor Belanda berkembang pesat kebelakangan ini, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) berteknologi tinggi serta kerjasama kukuh antara industri dan akademia. Pelaburan strategik dalam penyelidikan dan infrastruktur yang mantap telah meletakkannya sebagai peneraju kemajuan teknologi. – BERNAMA