Polis tahan bekas pembantu ahli parlimen muat naik video tanpa kebenaran

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang juga bekas pembantu peribadi kepada seorang Ahli Parlimen kerana memuat naik video milik wakil rakyat itu tanpa kebenaran dan pengetahuan di akaun Facebook miliknya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata individu berusia 43 tahun itu ditahan pada 11.30 pagi, Jumaat lepas di Pasir Mas, Kelantan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya.

“Turut dirampas dua telefon bimbit milik suspek berjenama Samsung dan Vivo bagi membantu siasatan. Suspek direman empat hari mulai 9 Ogos sehingga esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada 30 Julai lepas, pengadu yang juga Ahli Parlimen itu melihat hantaran di satu akaun Facebook memaparkan video berkenaan, selain menyebut namanya secara terbuka dipercayai berunsur jahat dan mendedahkan pengadu kepada kemudaratan atau ancaman terbuka.

“Kesan hantaran itu menyebabkan komen kecaman dibuat oleh pengguna Facebook yang lain dan komen negatif sehingga memberi tekanan, memudaratkan minda, reputasi serta psikologi pengadu,” katanya.

Mohd Azam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *