Pindaan Kanun Keseksaan perketat hukuman buli dan gangguan dalam talian

PUTRAJAYA: Kerajaan telah memperkenalkan peruntukan baharu dalam Kanun Keseksaan bagi menangani kes buli, gangguan, penghinaan dan penyalahgunaan maklumat identiti, termasuk yang dilakukan secara dalam talian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pindaan itu dimasukkan melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 [Akta A1750] yang mendapat Perkenan Diraja pada 25 Februari lepas dan diwartakan pada 7 Mac 2025.

“Pindaan itu memasukkan seksyen baharu 507B hingga 507G yang antaranya bertujuan menangani secara khusus isu buli yang dilakukan dalam apa-apa cara atau kaedah, termasuk dalam talian.

“Pindaan itu memperuntukkan kesalahan berkaitan gangguan, ancaman, perbuatan membuli, penghinaan serta penyalahgunaan maklumat identiti, termasuk situasi yang mendorong kepada cubaan membunuh diri dan jika orang yang diprovokasi cuba untuk membunuh diri atau membunuh diri akibat provokasi itu,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hukuman bagi kesalahan itu ialah pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Maka, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk meneliti dan mematuhi undang-undang yang sudah berkuat kuasa itu,“ katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat kekeliruan atau keperluan mendapatkan penjelasan lanjut, khalayak ramai dialu-alukan mendapatkan maklumat terus daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau Jabatan Bantuan Guaman yang sedia memberikan khidmat penerangan secara percuma.

“Perlu diingat, kejahilan berkenaan undang-undang bukan sebuah alasan di sisi undang-undang. Kefahaman yang jelas terhadap hak dan tanggungjawab di bawah undang-undang ialah langkah pertama bagi membina masyarakat yang lebih selamat, beretika dan berperikemanusiaan,“ katanya.

Beliau turut menyeru setiap kementerian, agensi, pertubuhan dan institusi untuk sentiasa mengemas kini pengetahuan warga kerja masing-masing mengenai perkembangan undang-undang terkini serta memastikan dasar dan prosedur dalaman selaras dengan peruntukan itu. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *