PUTRAJAYA: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kebangsaan akan mengemukakan usul kepada kerajaan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan dan penjualan vape secara dalam talian.
Langkah ini bertujuan memutus rantaian penularan dadah sintetik yang semakin membimbangkan di negara ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Yang Dipertua Pemadam Kebangsaan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata vape kini menjadi medium utama penyebaran bahan terlarang.
“Data daripada Pusat Data Sains Kementerian Dalam Negeri menunjukkan banyak jenayah berpunca daripada dadah, termasuk mencuri, membunuh dan merogol,“ katanya.
Beliau menekankan bahawa vape merupakan salah satu rantaian utama yang perlu diputuskan dalam memerangi dadah sintetik.
Lebih membimbangkan, dadah sintetik dalam vape sering dianggap tidak berbahaya oleh generasi muda dan mudah diperoleh secara dalam talian.
Data gabungan Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan mendedahkan golongan berusia 15 hingga 39 tahun sebagai sasaran utama sindiket dadah.
“Kebanyakan mereka mempunyai latar belakang pendidikan sekurang-kurangnya menengah, malah ada yang bergelar graduan hingga pemegang PhD,“ jelas Shamsul Anuar.
Pemadam yakin pengharaman menyeluruh terhadap vape akan membantu usaha kerajaan membendung penagihan dadah dalam kalangan anak muda.
Selain itu, Pemadam akan menggunakan pendekatan baharu seperti media sosial dan platform digital untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.
“Kita perlu beralih daripada kaedah lama seperti ceramah umum kerana golongan sasaran tidak lagi hadir,“ ujarnya.
Pemadam juga merancang mengubah jenama dan strategi operasi selepas lebih lima dekad berkhidmat.
Antara langkah termasuk pindaan perlembagaan untuk melantik dua naib presiden daripada kalangan profesional muda.
Nama rasmi organisasi juga akan diubah bagi mencerminkan peranan lebih relevan di peringkat negeri dan daerah.
Shamsul Anuar menegaskan Pemadam perlu menjadi rakan strategik kepada agensi seperti polis, AADK dan KKM dalam memerangi dadah.
“Agenda pencegahan dadah harus dijadikan perjuangan nasional yang bersatu padu,“ katanya. – Bernama