MCMC laksana kempen internet selamat di 66 sekolah Melaka

ALOR GAJAH: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Melaka telah melaksanakan Kempen Internet Selamat (KIS) di 66 sekolah di sekitar Melaka melibatkan 2,200 peserta, sejak awal tahun ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan berkata kempen tersebut merupakan inisiatif berimpak tinggi yang mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam membentuk generasi yang bukan sahaja celik literasi digital, malah bertanggungjawab dalam penggunaan internet dan media sosial.

“Alhamdulillah, setakat ini pelaksanaan KIS berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri. Kempen ini akan diteruskan di semua sekolah di Melaka sehingga akhir tahun ini selaras dengan arahan Kementerian Komunikasi.

“KIS dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya dalam kalangan murid dan warga sekolah, tentang kepentingan penggunaan internet secara selamat, bertanggungjawab dan beretika,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan KIS Alor Gajah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Alor Gajah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kempen yang berlangsung hari ini melibatkan 120 murid dan 30 guru pengiring dari 15 sekolah rendah di daerah ini, dengan pendedahan berkaitan dunia siber menerusi modul sekolah rendah tahap dua.

Katanya modul tersebut menekankan aspek had umur pengguna media sosial, bahaya media sosial dan perbezaan kandungan yang terdapat dalam platform berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Fairul Nizam berkata sebanyak 1,568 kes penipuan dalam talian direkodkan di Melaka sejak 1 Jan lepas hingga semalam, membabitkan kerugian berjumlah RM51.9 juta.

Beliau berkata jumlah itu terus menunjukkan peningkatan dari sehari ke sehari, namun pelbagai usaha telah dilaksanakan kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai pihak untuk meningkatkan kesedaran penduduk Melaka agar tidak terpedaya dengan taktik sindiket penipuan dalam talian.

“Kes penipuan tersebut melibatkan tawaran pekerjaan tidak wujud, pelaburan tidak wujud dan ‘love scam’, membabitkan mangsa daripada pelbagai peringkat umur serta latar belakang pekerjaan.

“Selain itu, setiap hari dilaporkan terdapat kes penipuan pembelian dalam talian seperti telefon bimbit dan barang kemas menerusi pelbagai medium media sosial,” katanya.

Pada kempen itu, Ikon Kempen Internet Selamat Digital Advocate Team (K-DAT) turut dilantik dalam kalangan murid dan guru bagi setiap sekolah terlibat.

Mereka berperanan meningkatkan kesedaran rakan sekolah masing-masing tentang penggunaan teknologi dan internet secara selamat, sopan dan beretika. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *