KPM laksanakan langkah tegas pastikan keselamatan sekolah terjamin

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan beberapa langkah penting bagi memastikan keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara.

Antara langkah utama ialah melaksanakan audit keselamatan di semua sekolah termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan asrama harian.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata audit itu memberi tumpuan kepada pematuhan semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aspek keselamatan.

“Hasil laporan audit ini akan dibentangkan kepada Pengurusan Tertinggi KPM dalam tempoh tiga bulan.”

KPM juga akan menambah baik SOP keselamatan sekolah dan langkah menangani isu disiplin termasuk salah laku buli.

“SOP dan garis panduan sedia ada akan dikaji semula bagi memastikan ia relevan dengan keperluan semasa dan akan datang.”

Selain itu, sistem aduan sedia ada termasuk portal Aduan Buli akan direformasikan dan dipermudahkan.

“Ia akan mempunyai pilihan anonim bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.”

KPM juga akan menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan institusi pendidikan yang melibatkan pelbagai pihak.

“Keahlian jawatankuasa ini termasuk ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO), pakar pelbagai bidang, pihak polis dan PIBKS.”

Mohd Azam menegaskan KPM tidak berkompromi terhadap salah laku buli dan tindakan tegas akan diambil.

“Hukuman seperti gantung dan buang sekolah akan dilaksanakan bagi kes serius.”

Program intervensi ‘Bangkit Bermaruah’ turut diperkenalkan khusus untuk murid yang digantung sekolah.

“Program ini menumpukan khidmat komuniti dan pembangunan sahsiah.”

Pentadbir, guru serta pegawai yang gagal mengurus aduan buli mengikut prosedur akan dikenakan tindakan.

“Aspek sokongan psikososial turut diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan warga sekolah.”

Guru Bimbingan dan Kaunseling memainkan peranan penting dalam pencegahan dan intervensi isu buli.

KPM menyeru semua pihak bekerjasama menangani isu ini secara menyeluruh dan bersepadu. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *