Capaian liputan internet perlu berada ditahap terbaik menjelang TMNS 2026

SEREMBAN: Pengunaan pembayaran kod respon pantas (QR Pay) secara meluas di semua premis perniagaan seluruh negeri ini menjadi antara faktor utama keperluan capaian Internet perlu berada pada tahap terbaik menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri Datuk Mohd Faizal Ramli berkata pihaknya mendapati kebanyakan pelancong luar datang ke negeri ini memilih kaedah perkhidmatan bayaran secara dalam talian termasuk di kedai-kedai makan.

“Negeri Sembilan bukan sahaja mempunyai kawasan yang menarik seperti pantai, bukit, gunung dan lokasi warisan tetapi kita juga antara lokasi popular orang luar datang untuk merasai keunikan makanan misalnya rendang maman, daging salai, itik salai, masak lemak cili api yang popular di Kuala Pilah, Pedas, Tampin dan Rembau.

“Kita dimaklumkan kebanyakkan mereka bayar mengunakan kod QR dan online, cashless (tanpa tunai), jadi capaian Internet sangat penting bagi kawasan tumpuan seperti ini agar pembayaran mereka tidak terganggu dan pengusaha boleh lakukan aktiviti jual beli dengan lancar,“ katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Penyelarasan Liputan Perkhidmatan Komunikasi Kawasan Pelancongan Peringkat Negeri Sembilan 2025 bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan MCMC Wilayah Selatan Rizal Abdul Malek dan Pengarah MCMC negeri Md Tahir Musa.

Mohd Faizal berkata pihaknya akan meningkatkan capaian Internet di semua kawasan pelancongan negeri ini terutamanya di kawasan hutan, berbukit dan pergunungan seperti di Rembau, Kuala Pilah, Hutan Simpan Sungai Menyala Port Dickson yang masih tidak mendapat capaian secara penuh.

“Kita akan sentiasa kemas kini dan tambah baik menara telco agar semua dapat capaian Internet lebih baik, termasuk kawasan pelancongan di perkampungan Orang Asli,“ katanya.

Mengenai program tersebut, Mohd Faizal berharap ia dapat memberi matlamat yang jelas bagi menyelaraskan usaha dan strategi meningkatkan liputan perkhidmatan komunikasi di kawasan pelancongan di negeri ini.

Mohd Faizal berkata ini termasuk mengenal pasti kawasan memerlukan penambahbaikan segera, merancang pelaksanaan pelan penambahbaikan liputan dan mencari penyelesaian inovatif.

“Usaha ini bertepatan dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan kejayaan TMNS 2026 dan menjadikan negeri ini berkembang sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia,“ katanya – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *