Bidaan nombor pendaftaran istimewa “sis” bermula 15 ogos – JPJ

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menawarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri “SIS” untuk bidaan awam bermula 15 hingga 19 Ogos ini, sempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 2026.

JPJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan siri “SIS” merupakan singkatan kepada Sultan Idris Shah menandakan penghormatan kepada Sultan Selangor kesembilan dan meraikan pemerintahan baginda sejak 2001.

JPJ memaklumkan bidaan akan dijalankan secara dalam talian melalui Sistem JPJeBid mengikut terma dan syarat sedia ada.

“NPI ‘SIS’ akan mula dibuka untuk bidaan kepada orang awam pada 15 Ogos (Jumaat) dan tarikh tutup pada 19 Ogos (Selasa) pada 10 malam,” menurut kenyataan itu.

JPJ memaklumkan keputusan bidaan ialah pada 20 Ogos (Rabu).

“Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan,” menurut kenyataan itu – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *