Agong selamat tiba di tanah air selepas lawatan negara ke Rusia

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat berangkat tiba di tanah air hari ini selepas mengakhiri lawatan negara lima hari ke Rusia.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor pada 6.30 pagi.

Berangkat menyambut keberangkatan tiba Sultan Ibrahim ialah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bersama Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Semalam, pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan pada 11.08 pagi.

Sultan Ibrahim yang menaiki takhta pada 31 Jan 2024, mengadakan lawatan buat julung-julung kalinya ke Rusia bermula 5 Ogos lepas atas undangan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Kunjungan ini disifatkan sebagai bersejarah kerana Seri Paduka Baginda merupakan Ketua Negara Malaysia pertama mengadakan lawatan negara ke Rusia sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1967.

Lawatan ini adalah yang keempat dilaksanakan oleh Sultan Ibrahim selepas Singapura, China dan Brunei. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *