KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang mengingatkan semua pihak supaya tidak terburu-buru membuat andaian mengenai insiden penggantungan bendera Malaysia secara terbalik yang tular baru-baru ini.
Beliau menegaskan tindakan menggantung bendera negara secara terbalik adalah tidak wajar dan melanggar Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
“Dalam semangat perpaduan, kita tidak seharusnya terburu-buru membuat andaian tanpa menunggu hasil siasatan yang lengkap,” katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.
Aaron menyatakan insiden itu mungkin berpunca daripada tindakan disengajakan, tetapi tidak menolak kemungkinan ia berlaku akibat kekhilafan atau ketidaktahuan orang awam.
Beliau menyeru individu, ahli politik dan mana-mana pihak berkepentingan supaya mengelakkan kenyataan provokatif yang boleh memburukkan keadaan.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan menentukan sebarang tindakan atau penalti yang sewajarnya diambil,” katanya.
Aaron menekankan insiden ini menjadi pengajaran penting untuk memahami dan menghayati simbol negara dengan lebih baik.
Beliau turut menegaskan rakyat tidak perlu ragu-ragu untuk memasang bendera susulan insiden tersebut.
“Ambil peluang ini untuk memahami tatacara yang betul dan terus menyokong kempen ‘1 Rumah, 1 Jalur Gemilang’,” ujarnya.
Sebagai langkah pencegahan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional diarah menggerakkan kempen kesedaran melalui Rukun Tetangga dan Kelab Rukun Negara.
Tujuan kempen tersebut adalah untuk memastikan masyarakat memahami cara mengibarkan bendera dengan betul. – Bernama