Seni, budaya jambatan penyatu semua lapisan masyarakat – Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Seni dan budaya berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan semua lapisan masyarakat, sekali gus menjadi nadi pembinaan tamadun, kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri berkata aspek tersebut menjadi nadi pembinaan sesebuah tamadun, bukan sahaja lambang kreativiti dan estetika, tetapi juga tonggak nilai, jati diri serta penyatuan rakyat.

“Apabila seni dan budaya dibawa ke peringkat komuniti, kita sebenarnya menyuburkan semangat patriotisme yang diperlukan dalam dunia mencabar ini,” katanya ketika merasmikan Program Penyemarakan Seni Budaya: Budaya@Komuniti Bandar Tun Razak dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di sini, hari ini.

Program itu merangkumi pelbagai aktiviti seperti jualan Agro MADANI dan Rahmah, pemeriksaan kesihatan, berpantun, gotong-royong memasak, sukan, kenduri rakyat, bengkel seni bela diri serta pertandingan tarian kreatif.

Turut hadir Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin dan Pengarah Bahagian Bimbingan Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Salmiyah Ahmad.

Dr Wan Azizah turut menggesa golongan muda mengisi masa dengan aktiviti berfaedah bagi menjauhi gejala negatif seperti ketagihan dadah, buli, lumba haram dan lain-lain.

“Saya mahu warga Bandar Tun Razak khususnya anak-anak muda, mengisi masa dengan aktiviti berfaedah dan jauh daripada perbuatan sumbang atau negatif yang boleh membawa kesan tidak baik seperti ketagihan dadah, membuli, lumba motor haram dan lain-lain,” katanya – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *