Polis tahan dua anak, isteri pengamal perubatan, rampas 35kg ganja

KOTA BHARU: Polis menahan dua beradik tiri bersama ibu mereka dan merampas 35 kilogram (kg) ganja mampat serta sepucuk pistol bersama peluru serta kelonsong di Kampung But, Ketereh di sini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata serbuan dilakukan pada 4.30 pagi Selasa, dengan suspek lelaki berusia 24 dan 34 tahun bekerja sebagai pembantu di klinik milik bapa mereka, manakala wanita 46 tahun itu, seorang suri rumah.

“Pemeriksaan di rumah menemukan enam kotak berisi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja dan dua beg berisi dadah sama seberat 35kg bernilai kira-kira RM299,590.

“Turut dirampas sepucuk pistol jenis Glock bersama 16 butir peluru dan satu kelongsong, dianggarkan bernilai RM5,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata turut disita empat kenderaan iaitu BMW 523i, Mercedes-Benz C200, Perodua Bezza dan Naza Ria dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM116,000, menjadikan anggaran jumlah rampasan mencecah RM420,000.

Sindiket itu dipercayai aktif sejak 2023 dan menggunakan rumah sebagai lokasi penyimpanan sebelum diedarkan melalui perkhidmatan kurier, dengan jumlah dadah dirampas boleh digunakan kira-kira 35,000 penagih.

Beliau berkata suspek dipercayai meneruskan kegiatan pengedaran dadah selepas ketua kumpulan itu dipenjarakan apabila ditahan polis pada 2023.

Dua beradik itu didapati positif methamphetamine serta ketamin manakala wanita itu negatif, dan semua mereka kini direman tujuh hari bermula 6 Ogos untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

Dalam kes berasingan, Mohd Yusoff berkata Polis Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas sepucuk pistol jenis Revolver, 30 butir peluru hidup dan satu kelongsong daripada sepasang suami isteri warga Thailand di sebuah rumah di Pengkalan Kubor pada 25 Julai.

Pasangan suami isteri berusia 40 dan 30 tahun itu didapati tidak memiliki lesen senjata api sah dan memasuki Malaysia secara haram.

Beliau berkata mereka ditahan untuk siasatan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Akta Imigresen 1959/63- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *