KAJANG: Polis sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun didakwa dicabul oleh seorang pekerja warga Bangladesh.
Kejadian itu berlaku di sebuah kedai serbaneka di Kajang pada Februari lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata siasatan dijalankan susulan video tular dimuat naik oleh pemilik akaun X @Negeri09.
Video tersebut mendakwa berlaku kejadian gangguan seksual melibatkan kanak-kanak dan seorang lelaki dikasari.
“Semakan mendapati laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang merupakan bapa mangsa pada 12 Mac lepas,” katanya.
Laporan itu memaklumkan anaknya dicabul pada 27 Februari.
Mangsa menceritakan kejadian itu kepada keluarganya pada 11 Mac sebelum laporan dibuat.
“Saksi kejadian masih dikesan bagi membantu siasatan memandangkan tiada rakaman kamera litar tertutup di lokasi,” jelas Naazron dalam kenyataan hari ini.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Norfaziana Sirkam di talian 019-5759 045.
Maklumat juga boleh disampaikan ke mana-mana balai polis berdekatan. – Bernama