IPOH: Mahkamah Perusahaan mengarahkan Perak FC Sdn Bhd membayar pampasan berjumlah RM1.04 juta kepada bekas ketua jurulatih Datuk Lim Teong Kim susulan tindakan pengurusan pasukan menamatkan kontraknya lebih awal daripada tempoh ditetapkan.
Pengerusi Mahkamah Datuk D. Paramalingam dalam penghakiman setebal 60 muka surat berkata Teong Kim berhak menerima pampasan bagi baki tempoh kontrak kerja berterma tetap yang belum luput.
Beliau menjelaskan bahawa dengan baki 16 bulan kontrak dan gaji bulanan RM65,000, jumlah pampasan dikira pada kadar RM1.04 juta.
“Penuntut (Teong Kim) turut menuntut kos tiga tiket pergi balik kelas perniagaan Munich–Kuala Lumpur–Munich bernilai keseluruhan EUR15,477.81 (RM76,471.39 pada 12 Jun 2025) seperti termaktub dalam kontrak.
“Namun, tuntutan ini bersifat kontraktual dan sepatutnya dibawa melalui saman sivil, bukannya tuntutan pembuangan kerja tidak adil di Mahkamah Perusahaan,” katanya.
Paramalingam berkata walaupun kontrak itu menetapkan kaedah pengiraan pampasan sekiranya ditamatkan lebih awal tanpa salah Teong Kim, kontrak selama dua tahun dari 15 Sept 2022 hingga 14 Sept 2024 ditamatkan pada 24 Mei 2023 — hanya lapan bulan selepas bermula.
“Oleh kerana kontrak ini berterma tetap, tiada isu untuk pengembalian jawatan kerana ia telah luput tempoh,” katanya.
Menurut beliau tindakan Perak FC menamatkan khidmat Teong Kim sambil mendakwa jurulatih itu gagal memenuhi jangkaan prestasi tinggi adalah tidak berasas, malah mendedahkan kelemahan pengurusan kelab itu sendiri.
Katanya selepas lapan bulan bersama pasukan dan hampir pertengahan musim 2023, Perak FC berada di tangga ke-11 liga, hanya dua anak tangga di bawah sasaran kedudukan kesembilan musim tersebut.
“Pada waktu penamatan, sasaran itu masih boleh dicapai. Keputusan memecat Teong Kim pertengahan musim adalah tindakan tergesa-gesa yang berbau mala fide. Hakikatnya, masalah kewangan pasukan sudah wujud sebelum beliau dilantik,” katanya.
Teong Kim diwakili peguam Edward Andrew Saw dan Jerry Low, manakala Perak FC diwakili Weera Premananda serta pembantu guaman Ooi Zi Qin.
Pada 27 Jun 2023, Teong Kim, bekas pemain profesional, memfailkan representasi di Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) Perak berhubung penamatan kontrak secara tidak sah itu dan menuntut bayaran baki gaji 16 bulan.
Beliau memiliki pengalaman lebih dua dekad dalam bidang kejurulatihan, termasuk tempoh perkhidmatan panjang bersama skuad pembangunan Bayern Munich dari 2000 hingga 2012.
Teong Kim juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara dan menjadi jurulatih pasukan kebangsaan bawah 16 tahun (B-16) – BERNAMA