Pemilik premis ditahan polis pasang Jalur Gemilang terbalik

KEPALA BATAS: Polis menahan pemilik kedai perkakasan di Jalan Bertam Perdana bagi membantu siasatan insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik di premisnya.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata lelaki berusia 59 tahun itu ditahan malam tadi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang esok dengan cadangan pertuduhan,” katanya.

Beliau berkata polis menerima 16 laporan berhubung kejadian itu, dengan 12 dibuat di Pulau Pinang dan empat di luar negeri.

Mohd Alwi menegaskan polis memandang serius perbuatan seumpama itu dan akan bertindak tegas.

Beliau mengingatkan orang ramai agar menghormati Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara.

Semalam, video 21 saat tular di media sosial menunjukkan dua lelaki di kedai perkakasan memasang Jalur Gemilang terbalik.

Kejadian itu mencetuskan kecaman warganet dan laporan polis oleh beberapa NGO serta ADUN Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *