KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menghadiahkan arca bertajuk “Rise Up Together” kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ulang tahun kelahiran ke-78.
Arca itu ditempah khas semasa lawatan rasmi beliau ke Nairobi, Kenya untuk menghadiri Perhimpunan Agung UN-Habitat.
Nga yang juga Presiden Program Penempatan Manusia PBB berkata karya seni ini melambangkan perpaduan nasional dan keharmonian dalam kepelbagaian rakyat Malaysia.
“Karya seni ini melambangkan kekuatan dan perpaduan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama,“ katanya.
Beliau menegaskan ia selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memupuk perpaduan dan memacu kemajuan negara.
Nga turut memuji pentadbiran MADANI yang berjaya mewujudkan kestabilan politik sejak dua tahun kebelakangan ini.
“Kita berjaya mengakhiri tempoh ketidaktentuan politik yang menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam tempoh empat tahun,“ ujarnya.
Beliau juga menyatakan ekonomi Malaysia semakin berkembang dengan ringgit yang mengukuh dan peningkatan daya saing global.
“Malaysia berada di landasan yang tepat untuk terus maju,“ tambahnya.
Nga turut menekankan kepentingan memelihara perpaduan dan keharmonian bagi menjamin keamanan dan kemajuan negara.
Kedudukan Malaysia di persada antarabangsa juga semakin kukuh, termasuk peranan PM sebagai orang tengah dalam gencatan senjata Thailand-Kemboja.
“Perdana Menteri bukan sahaja memperjuangkan keterangkuman dalam negara, malah menonjolkan kepimpinan Malaysia di peringkat global,“ katanya.
Beliau yakin di bawah kepimpinan Anwar, visi “Bangkit Bersama” akan direalisasikan sepenuhnya.
“Kita mampu memartabatkan Malaysia sebagai negara contoh dalam keharmonian,“ tegasnya – Bernama