Lelaki Vietnam ditahan cuba tarik bayi selepas curi di pasar raya Butterworth

BUTTERWORTH: Polis menahan seorang lelaki warga Vietnam yang cuba menarik bayi berusia 11 bulan semasa ingin melarikan diri selepas ditangkap mencuri di sebuah pasar raya di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abd Rahman berkata kejadian berlaku pada 12.45 tengah hari.

Penyedia pasar raya melihat suspek berusia 30-an cuba keluar dengan membawa beberapa makanan laut yang telah ditimbang tanpa membuat pembayaran.

“Penyelia itu berjaya menangkap lelaki tersebut namun suspek dapat melepaskan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek kemudian bertindak menarik bayi lelaki yang bersama seorang ahli keluarga sambil memegang pisau sehingga berlaku pergelutan.

Anuar berkata suspek berjaya ditahan dengan bantuan beberapa pekerja pasar raya dan orang awam.

Dia kemudian diserahkan kepada polis yang tiba di lokasi.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 324 untuk mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 iaitu ugutan jenayah.

Terdahulu, tular video memaparkan situasi tegang di pasar raya tersebut.

Rakaman menunjukkan seorang lelaki warga asing memegang bungkusan plastik dan sebilah pisau cuba menarik bayi daripada seorang wanita. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *