KAZAN: Lawatan negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Rusia yang berakhir hari ini, mencatatkan satu detik penting dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Ini merupakan lawatan negara keempat Seri Paduka Baginda sejak menaiki takhta Persekutuan pada 31 Jan 2024, selepas ke Singapura, China dan Brunei.
Sultan Ibrahim tiba di Moscow pada 5 Ogos atas jemputan Presiden Rusia Vladimir Putin dan menjadi Ketua Negara Malaysia pertama mengadakan lawatan negara ke persekutuan itu, sejak hubungan diplomatik terjalin pada tahun 1967.
Dalam pertemuan rasmi dengan Putin di Kremlin Moscow, Sultan Ibrahim bertitah Malaysia menganggap Rusia sebagai rakan yang dipercayai dan penting, dan lawatan itu mencerminkan hasrat tulus Seri Paduka Baginda untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama.
“Seperti pepatah Rusia yang menyatakan persahabatan lebih berharga daripada wang. Inilah semangat persahabatan yang beta percaya akan terus membentuk haluan hubungan antara kedua-dua negara demi manfaat rakyat,” titah Seri Paduka Baginda.
Sementara itu, Putin berkata dialog politik antara Moscow dan Kuala Lumpur telah terjalin kukuh, dengan penglibatan berterusan antara pelbagai agensi.
Beliau turut memuji peranan Malaysia dalam kumpulan visi strategik Rusia-Dunia Islam, yang disifatkan sebagai platform berkesan untuk kerjasama dan persefahaman bersama antara Rusia dan negara Islam.
Sebagai sebahagian daripada lawatan ini, Sultan Ibrahim turut berangkat ke Kazan dan Seri Paduka Baginda menekankan potensi besar untuk meningkatkan kerjasama dengan Republik Tatarstan dalam sektor seperti petrokimia, inovasi, kewangan Islam dan industri halal.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa puas hati terhadap peningkatan hubungan antara rakyat Malaysia dan Tatarstan dalam kerjasama ekonomi, institusi dan budaya.
Kazan merupakan ibu kota Tatarstan, iaitu antara republik autonomi paling terkenal di Rusia yang terkenal dengan kepelbagaian budaya serta majoriti penduduk Muslim.
Pesawat khas membawa Seri Paduka Baginda, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan pada 11.08 pagi.
Terdahulu, Rais (Presiden) Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov, mengiringi Seri Paduka Baginda ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan – BERNAMA