Kebakaran musnahkan tiga kedai dan rumah di Kuala Nerus

KUALA NERUS: Seorang peniaga di Batu Enam mengalami kerugian melebihi RM200,000 selepas kedai ubat tradisional dan homeopatinya musnah dalam kebakaran.

Lukman Mamad, 67, mengusahakan perniagaan itu sejak 31 tahun lalu sebelum ia musnah sepenuhnya dalam kejadian tengah malam tadi.

Kebakaran turut melibatkan dua lagi kedai dan sebuah rumah di lokasi berkenaan.

“Saya tutup kedai sekitar 6 petang dan pulang ke rumah di Losong,” kata Lukman ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau menerima panggilan daripada anaknya pada pukul 11 malam yang memaklumkan kedainya terbakar.

“Saya lihat api sedang marak dan terdengar letupan kuat kerana premis sebelah merupakan kedai dobi layan diri dengan banyak tong gas,” jelasnya.

Pemilik bangunan kedai yang disewa Lukman dikatakan menetap di Kuala Lumpur.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus Azmi Omar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.37 malam.

Sebanyak 28 anggota bomba dari beberapa balai bergegas ke lokasi untuk mengawal kebakaran.

“Tiga kedai separuh kekal terlibat, dengan kemusnahan antara 50 hingga 70 peratus,” kata Azmi.

Sebuah rumah di belakang bangunan turut musnah separuh akibat kebakaran.

Azmi memaklumkan api berjaya dikawal dalam masa 45 minit.

Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *