JITRA: Generasi muda diseru menggunakan media sosial dan segala ruang yang ada untuk menyebarkan semangat perpaduan serta nilai-nilai kebangsaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa berkata golongan itu perlu menjauhi sebarang bentuk kebencian atau perpecahan yang boleh merosakkan keharmonian negara.
“Sehubungan dengan itu, saya ingin menyeru kepada anak-anak pelajar yang hadir pada hari ini supaya menanamkan rasa cinta kepada negara dalam setiap langkah yang diambil.
“Belajarlah dengan tekun kerana ilmu adalah asas penting untuk mempertahankan kemerdekaan dan memajukan negara.
Hargailah nikmat keamanan dan kebebasan yang kita kecapi hari ini, hasil perjuangan generasi terdahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 peringkat Negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra.
Mohamad Fauzi menegaskan generasi muda adalah pewaris masa hadapan negara.
Jika semangat patriotik dan kecintaan kepada tanah air tidak dipupuk sekarang, ia dibimbangi akan melahirkan generasi yang lupa akan asal usul.
Beliau juga menyatakan kebimbangan terhadap generasi muda yang leka dalam arus globalisasi dan hilang jati diri sebagai rakyat Malaysia.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, Kementerian Komunikasi melancarkan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.
Inisiatif itu adalah komitmen dalam menyemarakkan semangat kecintaan kepada tanah air melalui pemasangan dan kibaran Jalur Gemilang.
“Kibaran Jalur Gemilang bukan sekadar hiasan tetapi melambangkan semangat perjuangan, maruah negara dan jati diri rakyat Malaysia,” jelasnya.
Antara pengisian program pada hari ini ialah Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Kedah.
Konvoi tersebut melibatkan penyertaan 43 kenderaan daripada jabatan di bawah Kementerian Komunikasi serta agensi lain.
Program sisipan seperti Kempen Internet Selamat turut diadakan untuk memberikan pendedahan tentang amalan penggunaan internet yang beretika.
Kuiz kenegaraan juga dijalankan bagi memperkukuh semangat patriotik dalam kalangan peserta.
Sebanyak 12 reruai oleh agensi kerajaan dan swasta turut mempamerkan perkhidmatan terus kepada rakyat.
Turut hadir Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan. – Bernama