Agong berangkat pulang ke tanah air, akhiri lawatan negara di Rusia

KAZAN: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat pulang ke tanah air pada Ahad, selepas mengakhiri lawatan negara enam hari di Rusia.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan pada 11.08 pagi.

Mengiringi Sultan Ibrahim ke lapangan terbang berkenaan ialah Rais (Presiden) Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov.

Lawatan negara yang bermula dari 5 Ogos lepas, adalah atas undangan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Pada 6 Ogos, Yang di-Pertuan Agong diberi sambutan negara di Kremlin Moscow, yang disambut secara rasmi oleh Putin, disusuli pertemuan rasmi kedua-dua pemimpin.

Di Moscow, Sultan Ibrahim berangkat melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) untuk meninjau kemajuan teknologi automotif Rusia.

Seri Paduka Baginda juga mengadakan lawatan ke Tochka Kipeniya, sebuah pusat teknologi dan inovasi di negara itu, serta memperoleh maklumat mengenai teknologi dron Rusia.

Selepas mengakhiri program di Moscow, Sultan Ibrahim berangkat ke Kazan, ibu negeri Tatarstan bagi segmen kedua lawatan negara, dan menerima menghadap Minnikhanov di Istana Presiden Kremlin Kazan.

Kunjungan ini ialah lawatan negara pertama oleh Ketua Negara Malaysia ke Rusia, yang disifatkan sebagai kemuncak hubungan diplomatik lebih lima dekad antara dua negara, yang terjalin pada 1967.

Lawatan ini juga menunjukkan peranan institusi diraja Malaysia yang sangat penting dalam konteks hubungan antarabangsa – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *