KAZAN: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar lawatan baginda ke Kazan akan memperkukuh hubungan antara Malaysia dan republik Rusia, Tatarstan.
Sultan Ibrahim dalam pertemuan dengan Rais Tatarstan Rustam Minnikhanov di Istana Presiden Kremlin Kazan di sini hari ini bertitah bahawa baginda gembira dengan peningkatan penglibatan antara rakyat Malaysia dan Tatarstan dalam kerjasama ekonomi, institusi dan kerjasama budaya.
“Kami amat menghormati kepimpinan anda dalam Kumpulan Visi Strategik “Rusia-Dunia Islam’. Ia menjadi bukti dedikasi anda kepada kemajuan Ummah Muslim,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim turut menekankan potensi signifikan bagi peningkatan kerjasama dalam sektor seperti petrokimia, inovasi, kewangan Islam dan industri halal pada masa akan datang.
“Saya turut berasa sukacita menyaksikan peluasan kerjasama akademik antara institusi pendidikan tinggi kita,” titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah universiti-universiti Malaysia dan Rusia termasuk beberapa institut di Kazan telah membangunkan kerjasama yang utuh termasuk penyelidikan bersama dalam bidang baharu muncul seperti kejuruteraan, tenaga dan sains komputer.
“Saya puji kolaborasi berterusan antara Kazan Federal University dan Kazan National Research Technological University dengan Universiti Teknologi Malaysia – terletak di negeri saya, Negeri Johor,” titah Sultan Ibrahim.
Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa prospek bagi mengembalikan hubungan udara secara langsung antara Rusia dan Malaysia telah digesa, yang akan membuka jalan bagi pelancongan, perniagaan dan meningkatkan kerjasama rakyat dengan rakyat.
“Saya berharap untuk melihat lebih banyak pelajar dan pelancong daripada Tatarstan memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka,” titah Seri Paduka Baginda.
Sementara itu, Sultan Ibrahim menzahirkan kegembiraan untuk memperbaharui hubungan erat dengan Minnikhanov di tapak bersejarah Kazan Kremlin.
“Rakh-mat” – Kebaikan dan kehangatan anda akan terus dikenang,” titah Seri Paduka Baginda.
Sebelum pertemuan itu, Seri Paduka Baginda disambut mesra oleh Minnikhanov di Kazan Kremlin, disusuli sesi bergambar berlatarbelakangkan pemandangan indah Sungai Volga.
Para tetamu turut menghadiri jamuan dianjurkan Minnikhanov sempena meraikan Seri Paduka Baginda di Dewan Bankuet istana tersebut.
Kazan, ibu negeri Tatarstan, merupakan satu daripada republik berautonomi Rusia terpenting yang dikenali dengan kepelbagaian budaya dan populasi majoriti Muslim.
Sultan Ibrahim berangkat tiba di Kazan pagi ini bagi segmen kedua lawatan negara ke Rusia atas jemputan Presiden Vladimir Putin. – Bernama