Pengurus pengaturcara rugi RM2.33 juta jadi mangsa love scam

GEORGE TOWN: Seorang pengurus pengaturcara kilang di Bayan Lepas mengalami kerugian lebih RM2.33 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan cinta.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata wanita berusia 53 tahun itu diperdaya lelaki kononnya dari Singapura.

Mangsa berkenalan dengan suspek melalui ibu saudaranya ketika menghadiri seminar di Kuala Lumpur pada Februari tahun lepas.

Hubungan mereka hanya melalui WhatsApp sebelum suspek mendakwa menjalankan perniagaan pemasangan grid elektrik di Oman.

Mohd Alwi berkata mangsa diminta memindahkan wang untuk pembelian bahan mentah projek tersebut.

Suspek memberi alasan capaian internet di Oman tidak stabil sebagai sebab mangsa perlu mengakses akaunnya.

Mangsa kemudian membuat pemindahan seperti diarahkan sebelum dimaklumkan transaksi gagal kerana melibatkan negara berbeza.

Suspek meminta mangsa membayar caj perkhidmatan bank terlebih dahulu dengan janji akan dibayar balik.

Dari 28 Mac 2024 hingga 18 Ogos 2024, mangsa melakukan 58 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza berjumlah RM1.936 juta.

Pada September 2024, suspek mendakwa mendepositkan cek US$404,500 ke akaun ‘Heritage Asset Bank Oman’ untuk bayaran balik.

Mangsa kemudian dihubungi pegawai bank palsu yang meminta bayaran untuk menunaikan cek tersebut.

Dari 25 September 2024 hingga 4 Julai lalu, mangsa membuat 13 transaksi lagi ke lima akaun bank berbeza berjumlah RM399,407.

Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan penipuan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *