KUALA LUMPUR: Malaysia buat julung-julung kali akan menjadi tuan rumah Kejohanan Sorak Asia Kesatuan Sorak Antarabangsa (ICU) tahun depan.
Presiden Persatuan Sorak dan Daftar Malaysia (CHARM) Lim Chin Hau berkata kejohanan yang dijadual pada 16 hingga 18 Okt, berikutan peningkatan prestasi dipamerkan barisan skuad sorak negara pada kejohanan sebelum ini.
Beliau berkata beberapa negara Asia telah menyatakan minat bagi menyertai kejohanan tersebut yang mempertandingkan pelbagai kategori mengikut peringkat umur.
“Sebelum ini kita hanya hantar satu atau dua pasukan (kejohanan Sorak Asia). Sekarang kita cuba mengembangkannya supaya apabila menjadi tuan rumah kita lebih bersedia.
“Kita juga lebih faham dengan kemampuan pasukan lain. Ini adalah persiapan untuk tahun depan,“ katanya ketika ditemui Bernama pada Kejohanan Pasukan Sorak Charm (C3) 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, Lim berkata CHARM menyenaraikan tujuh pasukan bagi menggalas cabaran negara pada Kejohanan Sorak Asia berlangsung 14 dan 15 Sept ini di Bangkok, Thailand.
“Ia merupakan jumlah pasukan terbanyak kita hantar untuk diberikan pendedahan sebagai persediaan bergelar tuan rumah nanti.
“Kita sasarkan tiga terbaik bagi setiap kategori mengambil kira persaingan sengit daripada negara lain,“ katanya- BERNAMA