Malaysia bersedia damaikan konflik di selatan Thailand- PM

BACHOK: Malaysia bersedia untuk mendamaikan konflik di Selatan Thailand dan berusaha menghentikan ketegangan di antara kedua-dua pihak yang bertelagah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Malaysia akan mempertingkat usaha mencari kedamaian di wilayah itu agar pengajian Islam dapat diteruskan dan Bahasa Melayu terus dimartabatkan.

“Isu di Selatan Thailand adalah urusan dalaman Kerajaan Thailand dan saya telah menghubungi mereka yang menunjukkan kesediaan untuk terus berusaha menghentikan ketegangan terutamanya keganasan di kedua-dua pihak.

“Saya yakin dengan kebijaksanaan pimpinan Thailand, usaha mencari kedamaian dan keamanan akan diteruskan agar kawasan tersebut dapat dibangunkan, pengajian Islam diperkukuh dan Bahasa Melayu dimartabatkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama pimpinan dan penuntut Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan, Taman Sri Cempaka di sini malam ini.

Pada 5 Ogos lepas, media melaporkan pen­­duduk Islam di wilayah selatan Thailand meminta Anwar memainkan peranan sebagai pendamai bagi menamatkan konflik berlarutan di kawasan itu yang sudah meragut ribuan nyawa sejak beberapa dekad lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai konflik di antara Thailand dan Kemboja, Anwar berharap keamanan serta kedamaian antara kedua-dua negara terus berkekalan.

“Alhamdulillah, usaha mendamaikan di Thailand dan Kemboja mudah-mudahan dapat kekal dan ini juga membantu rakan-rakan Islam di sana, begitu juga bila kita cuba usahakan kedamaian atau mengurangkan ketegangan di Myanmar.

“Serangan terhadap umat Islam terutama Rohingnya jauh berkurangan, sebab itu Malaysia harus teruskan,“ katanya.

Semalam, Perdana Menteri berkata Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam membantu menyelesaikan isu sempadan antara Thailand dan Kemboja seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua negara.

Hari ini, beliau berkata persetujuan perjanjian gencatan senjata yang pantas dan berkesan antara Thailand dengan Kemboja ialah pencapaian luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini bagi ASEAN sekali gus membuktikan kekuatan, komitmen serta keazaman pemimpinnya.

Sementara itu, Anwar turut mengumumkan akan menyalurkan bantuan sebanyak RM2.1 juta kepada Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan.

Beliau berkata bantuan bagi menampung kerosakan pusat pengajian itu akan disegerakan beberapa bulan lagi.

“Tentunya pondok seperti ini di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan memerlukan sedikit perhatian daripada kerajaan pusat, saya telah berjanji akan mengusahakan (bantuan).

“Insya-Allah, untuk permulaan ada kerosakan-kerosakan besar kita luluskan RM2.1 juta… kemudian kita akan kaji permohonan keseluruhan termasuk sekitar 246 sekolah pondok yang sangat daif di seluruh negara,“ katanya.

Turur hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Polis negeri berkenaan Datuk Mohd Yusoff Mamat. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *