KUALA TERENGGANU: Lebih 4,000 peserta termasuk dari negara ASEAN menyertai program Jelajah Kayuhan Solidariti ASEAN 2025 di Dataran Batu Buruk hari ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata program ini bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan mengukuhkan hubungan serantau.
“Ini menunjukkan sukan sebagai penyatu bukan hanya untuk masyarakat Malaysia tetapi juga hubungan ASEAN,” katanya.
Beliau menambah Terengganu dipilih kerana sering mendominasi acara berbasikal dan melahirkan atlet cemerlang.
Adam Adli berharap acara seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa hadapan meskipun ia dianjurkan sekali sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia.
Peserta dari Kemboja, Kloth Karaney, 39, berkata program ini membantu mempromosikan pelancongan di ASEAN.
“Kita boleh berinteraksi dan mengeratkan hubungan sesama negara anggota,” katanya.
Peserta dari Vietnam, Tran Chong Thai, 36, berkata ini kunjungan pertamanya ke Malaysia dan Terengganu.
“Saya akan promosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan menarik kepada rakan-rakan di Vietnam,” katanya. – Bernama