KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI teguh beriltizam bagi memastikan suara, hak dan peluang untuk Orang Asal akan terus terjamin.
Beliau berkata ini bagi memastikan mereka kekal menjadi tunjang budaya, penjaga khazanah alam serta rakan kongsi dalam kemajuan negara.
“Hari Orang Asal Sedunia yang diraikan hari ini mengingatkan kita bahawa kekuatan sebenar sesebuah negara khususnya Malaysia, terletak pada kepelbagaian dan warisan yang kita pelihara bersama,” kata Anwar dalam catatan di Facebook.
Hari Orang Asal 2025 bertemakan Pertahankan Bumi, Pulihkan Tanah, Hijauan Semula Masa Depan – Melalui Kearifan Orang Asal dan ia disambut setiap tahun sebagai penghormatan kepada identiti, budaya, sumbangan serta hak Orang Asal yang menjadi sebahagian penting daripada kepelbagaian bangsa dan budaya Malaysia – BERNAMA