Jim Lovell, komander Apollo 13, meninggal dunia pada usia 97 tahun

NEW YORK: Bekas angkasawan Amerika Syarikat (AS), Jim Lovell yang terkenal sebagai komander misi Apollo 13 meninggal dunia pada usia 97 tahun, lapor agensi berita Jerman.

Lovell meninggal dunia pada Khamis di Lake Forest, Illinois, menurut agensi angkasa AS, NASA.

Apollo 13, yang diketuai Lovell pada 1970, mengalami kegagalan teknikal ketika dalam perjalanan ke Bulan, memaksa kru membatalkan pendaratan.

Melalui kebijaksanaan dan semangat berpasukan, Lovell serta rakan sepasukan berjaya kembali dengan selamat ke Bumi, mengubah apa yang boleh menjadi malapetaka kepada contoh penyelesaian masalah di bawah tekanan.

Pemangku Pentadbir NASA, Sean Duffy pada Jumaat menyampaikan penghormatan, sambil berkata: “NASA mengucapkan takziah kepada keluarga Kapten Jim Lovell, yang kehidupan dan jasanya memberi inspirasi kepada jutaan orang sepanjang dekad.”

Keberanian Lovell, kata Duffy, membantu manusia sampai ke Bulan dan menukar ancaman bencana kepada kejayaan.

Lovell juga pernah terlibat dalam misi Apollo 8 pada 1968, misi pertama yang mengorbit Bulan.

Sebelum menyertai NASA, Lovell berkhidmat dalam Tentera Laut AS sebagai juruterbang ujian dan merupakan graduan Akademi Tentera Laut AS.

Dalam kalangan rakan sekerja, beliau mesra digelar “Smilin’ Jim” kerana sifat periangnya. – Bernama-dpa

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *