BANGKOK: Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) kini memainkan peranan lebih proaktif dalam penyelesaian konflik serantau, dengan Malaysia menerajui usaha tersebut di bawah kepengerusiannya tahun ini.
Pengarah Pusat Kajian Komunikasi Keamanan dan Pembangunan di Universiti Prince of Songkla, Kampus Pattani, Dr Samatcha Nilaphatama berkata ASEAN menunjukkan peranan semakin berkembang dalam memelihara dan mempromosikan kestabilan serantau, seperti yang dibuktikan melalui campur tangannya dalam pertikaian sempadan Thailand-Kemboja baru-baru ini.
“ASEAN bergerak daripada sekadar ‘memerhati’ kepada membantu secara aktif dalam menyelesaikan konflik serantau,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.
Beliau berkata blok serantau itu, khususnya Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN ketika ini, telah menunjukkan kepimpinan aktif dengan memediasi gencatan senjata antara kedua-dua pihak yang bertelagah serta mencadangkan penubuhan pasukan pemerhati ASEAN bagi memantau usaha gencatan senjata.
“Ini menunjukkan kapasiti ASEAN yang semakin meningkat untuk memainkan peranan lebih besar dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara,” katanya.
Beliau menyifatkan Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini sebagai langkah penting dalam mewujudkan saluran komunikasi antara angkatan tentera Thailand dan Kemboja semasa krisis.
Beliau menegaskan bahawa kedua-dua pihak telah memilih pendekatan diplomasi dan rundingan berbanding keganasan, serta mengalu-alukan persetujuan untuk menubuhkan jawatankuasa bersama bagi menyiasat insiden di sepanjang sempadan.
“Kehadiran pemimpin tentera dari kedua-dua negara di meja rundingan adalah tanda kematangan politik dan komitmen terhadap keamanan.
“Selain itu, cadangan untuk menghantar pemerhati ASEAN ke sempadan menandakan perkembangan baharu yang mencabar prinsip tidak campur tangan ASEAN yang telah lama dipegang, dan menunjukkan kesediaan kedua-dua negara untuk bekerjasama demi kestabilan serantau,” katanya.
Kedua-dua negara telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata, menamatkan pertempuran bersenjata selama lima hari di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, susulan mesyuarat khas yang diadakan di Putrajaya pada 28 Julai.
Susulan itu, mesyuarat bersejarah GBC yang menjadi hasil utama mesyuarat khas tersebut berakhir dengan positif di Kuala Lumpur pada Khamis, dengan kedua-dua kerajaan bersetuju terhadap beberapa syarat gencatan senjata bagi mengelakkan peningkatan semula ketegangan.
Sehubungan itu, Profesor Madya Panitan Wattanayagorn, ahli sains politik di Universiti Chulalongkorn, berkata kredit harus diberikan kepada ASEAN — dan Malaysia selaku Pengerusi — kerana berjaya mempelopori usaha damai yang diketuai ASEAN.
“Saya fikir ini adalah isyarat yang sangat jelas bahawa ASEAN mahukan keamanan. Negara anggota mahukan keamanan. Itu sudah jelas,” katanya.
Panitan menyifatkan Mesyuarat Luar Biasa GBC itu sebagai langkah positif ke arah mencapai keamanan yang berkekalan untuk kedua-dua negara.
“Keamanan jangka panjang boleh dicapai selepas permulaan yang baik ini. Ia adalah langkah positif ke arah itu,” katanya.
Beliau turut berharap akan ada komunikasi yang lebih terbuka antara pemimpin tertinggi tentera dan politik kedua-dua negara.
“Pemimpin Thailand dan Kemboja khususnya perlu lebih jelas dalam interaksi mereka, kerana ia akan menjadi langkah membina keyakinan dalam kalangan rakyat kedua-dua negara, menunjukkan bahawa di peringkat tertinggi, keadaan kini kembali normal,” katanya.
Kemboja dan Thailand telah lama terlibat dalam pertikaian wilayah membabitkan kawasan sempadan yang kurang jelas penandaan, berpunca daripada peta tahun 1907 yang dilakar pihak kolonial Perancis.
Walaupun terdapat ketegangan berhubung tuntutan wilayah, kedua-dua negara jiran yang merupakan anggota ASEAN itu secara umumnya mengekalkan hubungan baik – BERNAMA