Empat lelaki direman tujuh hari kes rempuh anggota polis maut

ALOR SETAR: Empat lelaki yang disyaki merempuh seorang anggota polis sehingga maut direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali di Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sehingga 14 Ogos ini.

Suspek berumur antara 24 hingga 26 tahun dibawa ke kompleks mahkamah menggunakan van polis pada 8.45 pagi.

Mereka meninggalkan pekarangan mahkamah pada 9.55 pagi selepas prosiding reman selesai.

Kejadian berlaku semalam di Taman Golf melibatkan kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki empat lelaki.

Mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Beliau bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Kejadian dipercayai berkaitan jenayah pecah rumah di sebuah kediaman di kawasan sama. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *