Tiga individu didakwa seludup migran Sri Lanka di KLIA

KLANG: Tiga individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mengatur penyeludupan seorang lelaki warga Sri Lanka.

Mereka adalah G. Santhiya Darshini, 27, Janarthanan Appupillai, 46, dan Vtheewaran Palani, 48, seorang warga Sri Lanka.

Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes ini berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa secara bersama mengatur penyeludupan seorang lelaki warga Sri Lanka melalui KLIA pada 10 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 26C Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara hingga 15 tahun dan didenda.

Di mahkamah yang sama, seorang lagi warga Sri Lanka, Antany Sujan Antany Ranjan, 21, didakwa memiliki pasport palsu.

Dia didakwa di Pintu Pelepasan Antarabangsa KLIA pada 10 Julai lepas.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes ini juga di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 26E ATIPSOM 2007 dengan hukuman penjara antara tujuh hingga 15 tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Anisah Pisol dan Norhidayah Abdullah Sani tidak menawarkan jaminan kepada semua tertuduh.

Mereka memohon kes-kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam William Edwin, Donald Selvam dan C. Surenthran.

Antany Sujan tidak diwakili peguam. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *