TAIPING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melupuskan pelbagai barang kes jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dengan nilai keseluruhan RM355,292.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata pelupusan itu melibatkan 40 kertas siasatan yang telah selesai dari 2011 hingga kini.
Kes-kes tersebut merangkumi perjudian, bitcoin, mercun, barang kontraban arak dan rokok serta jenayah am.
Pelupusan dijalankan mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN D207) dan peruntukan undang-undang Seksyen 406A dan 407A Kanun Prosedur Jenayah.
Antara barang yang dimusnahkan ialah 427 mesin melombong bitcoin bernilai RM106,750 yang dirampas dalam operasi dari 2021 hingga 2023.
Pelupusan juga melibatkan 10,470 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM266,788.45 daripada tujuh kes antara 2013 dan 2022.
Sebanyak 130 kotak dan 41 bungkus rokok bernilai RM15,000 turut dilupuskan daripada lapan kes dari 2012 hingga 2024.
Mohamad Nasir berkata proses itu turut melibatkan 632 tin dan 44 botol arak bernilai RM1,753.55 daripada dua kes antara 2019 dan 2024.
Peralatan perjudian seperti meja, telefon bimbit, mesin judi dan wang tunai RM1,460 bernilai RM10,000 turut dimusnahkan.
Sampel darah daripada lapan kes seksual antara 2011 dan 2019 juga dilupuskan setelah mendapat perintah mahkamah.
Prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi bagi memastikan setiap tindakan adalah sah dari segi undang-undang.
Langkah ini diambil untuk mengelakkan kesesakan di stor barang kes dan mengurangkan risiko penyalahgunaan.
Pelupusan juga bertujuan menjimatkan sumber tenaga dan kewangan PDRM.
Mohamad Nasir menegaskan langkah ini memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap integriti PDRM.
Orang ramai juga diberi pendedahan mengenai proses pelupusan barang kes yang dilaksanakan secara profesional – Bernama