GEORGE TOWN: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan melibatkan lima warga Iran yang ditahan pada Sabtu lepas bagi membantu siasatan kes curi wang pelancong asing di sekitar pusat bandar George Town.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kesemua suspek berusia 19 hingga 35 tahun itu telah tamat tempoh reman pihak polis.
Beliau menambah mereka kini sedang ditahan reman oleh Jabatan Imigresen sehingga 15 Ogos ini.
“Pihak polis sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan terdapat penglibatan mereka dalam kes-kes yang sama di negeri lain,” katanya.
Mohd Alwi berkata setakat ini belum ada penemuan baharu dalam siasatan tersebut.
“Hasil siasatan menunjukkan mereka dipercayai terlibat dalam tiga kes yang dilaporkan di kawasan George Town,” jelasnya.
Beliau berkata polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Polis juga masih menunggu maklum balas daripada Jabatan Imigresen bagi pengesahan ketulenan pasport suspek.
Suspek termasuk sepasang suami isteri dan rekod keluar masuk mereka ke negara ini turut disiasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan 380 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada Sabtu lepas, polis menahan tiga lelaki dan dua wanita di Plaza Gurney dalam operasi Op Tourist.
Mereka dipercayai terlibat dalam kes curi wang pelancong asing yang dipukau di sekitar pusat bandar.
Polis menerima tiga laporan kejadian curi wang tunai di kawasan Pulau Tikus dan Jalan Penang.
Mangsa terdiri daripada pelancong warga Taiwan, Belanda dan Syria berusia 29 hingga 52 tahun.
Kejadian dilaporkan berlaku antara 30 Julai hingga 1 Ogos lepas. – Bernama