PUTRAJAYA: Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam membantu menyelesaikan isu sempadan antara Thailand dan Kemboja, seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Alhamdulillah, setakat ini mereka mahu Malaysia terus menyelaras. Mereka memberi komitmen untuk mematuhi syarat-syarat yang menjamin genjatan senjata itu diamalkan sepenuhnya.
“Untuk itu, kita akan terus ambil peranan. Hari ini ada beberapa isu kecil, mudah-mudahan dapat diselesaikan,” katanya semasa berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di sini hari ini.
Anwar berkata beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Kemboja Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Natthaphon Narkphanit, sebelum menghadiri sesi libat urus tersebut.
“Saya bincang dengan kedua-dua menteri pertahanan tadi. Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN, akan bersama memantau, dan kita rasa tidak perlu lagi campur tangan ASEAN secara menyeluruh -BERNAMA