Mahkamah Persekutuan umum keputusan rayuan AG pada 13 Ogos

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 13 Ogos ini untuk mengumumkan keputusan berhubung rayuan Peguam Negara berkaitan kewujudan dokumen tambahan yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan di rumah.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu mengesahkan tarikh keputusan berkenaan kepada Bernama.

Pada 9 Julai lepas, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim menangguhkan keputusan berhubung rayuan berkenaan.

Mahkamah Persekutuan pada 28 April lepas memberi kebenaran kepada AG untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dokumen tambahan yang didakwa berkaitan dengan Najib.

Mahkamah Rayuan pada 6 Jan lepas mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan dokumen tambahan untuk diputuskan oleh Mahkamah Tinggi berdasarkan merit.

Keputusan itu membatalkan perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman.

Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Rayuan serta permohonan semakan kehakimannya sebelum ini telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Lembaga Pengampunan pada Februari 2023 meringankan hukuman penjara 12 tahun Najib kepada enam tahun dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *