LONDON: Lapangan Terbang Birmingham di Britain mengesahkan pada Rabu bahawa landasannya telah ditutup sementara susulan satu insiden membabitkan sebuah pesawat.
Menurut polis lapangan terbang, seorang individu mengalami kecederaan ringan, lapor Xinhua.
Kejadian itu melibatkan sebuah pesawat kecil yang melakukan pendaratan cemas kira-kira 1.40 tengah hari waktu tempatan.
Woodgate Aviation, pemilik pesawat berkenaan dalam satu kenyataan berkata satu daripada pesawat jenis Beechcraft miliknya mengalami masalah pada gear pendaratan ketika dalam penerbangan dari Birmingham ke Belfast.
“Pesawat itu berpatah balik ke Birmingham dan melakukan pendaratan cemas, namun gear pendaratan utama gagal berfungsi ketika mendarat,” menurut syarikat itu.
Pihak lapangan terbang memaklumkan bahawa penumpang yang sudah berada di lokasi akan terus menerima maklumat terkini, manakala mereka yang dijadual berlepas lewat hari ini dinasihatkan menyemak status penerbangan sebelum ke lapangan terbang.
Lapangan Terbang Birmingham merupakan lapangan terbang ketujuh terbesar di Britain dengan kira-kira 11.5 juta penumpang dikendalikan pada 2023, menurut data yang disiarkan di laman sesawang rasminya – BERNAMA-XINHUA