Kelayakan Piala Asia Wanita B-20: Malaysia tewas 0-3 kepada Iran

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak bawah-20 (B-20) memulakan kempen kelayakan Piala Asia Wanita B-20 dengan langkah kiri apabila tumpas 0-3 di tangan Iran dalam aksi Kumpulan F yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, hari ini.

Iran membuka tirai jaringan menerusi penyerang utama, Maryam Dini, yang meledak dua gol pada minit ke-13 dan ke-28, sebelum pemain gantian, Asal Ghajarian, melengkapkan kemenangan pasukannya dengan gol ketiga pada penghujung perlawanan.

“Saya tidak gembira dengan keputusan ini kerana saya benci kalah. Mereka kekal berpegang kepada pelan permainan yang ditetapkan, namun malangnya, beberapa kesilapan individu telah menghukum kami,“ kata ketua jurulatih negara Cameron Ng pada sidang media selepas perlawanan.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia berada di tangga ketiga kumpulan, manakala Iran di kedudukan kedua dengan tiga mata – dibezakan menerusi perbezaan jaringan dengan pendahulu kumpulan, Jepun.

Terdahulu, Jepun membelasah Guam 5-0 dalam satu aksi kumpulan yang berlangsung sebelah petang.

Malaysia akan berdepan tugas getir menentang Jepun pada Jumaat, sebelum menutup kempen kelayakan Kumpulan F menentang Guam, Ahad ini – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *