Kastam Perlis rampas ayam beku dan vape bernilai RM1.35 juta

KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas 55,572 kilogram (kg) ayam sejuk beku serta 27,700 unit rokok elektronik (vape) dalam operasi berasingan.

Nilai keseluruhan rampasan itu melebihi RM1.35 juta dan berlaku di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar bulan lepas.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata ayam sejuk beku bernilai RM833,580 dan vape bernilai RM520,800 itu tidak diikrar dengan betul.

Beliau berkata rampasan ayam dilakukan pada 26 Julai selepas pemeriksaan dua kontena yang dibawa dua motorlori.

“Ayam sejuk beku itu dipercayai dibawa dari negara luar dan dimasukkan ke negara ini melalui Pulau Pinang sebelum dibawa ke Padang Besar tanpa dieksport ke Thailand,” katanya.

Ismail memaklumkan lima lelaki termasuk dua pemandu lori, dua ejen penghantaran, dan seorang pengimport ditahan sebelum dilepaskan dengan jaminan antara RM3,000 hingga RM4,000 seorang.

Sementara itu, rokok elektronik ditemui dalam kenderaan pikap Isuzu DMAX bernombor pendaftaran Thailand di laluan eksport ICQS Padang Besar pada 17 Julai.

“Pemeriksaan menemui alat dan cecair vape daripada tiga jenis perisa yang tidak diikrarkan, dipercayai untuk dieksport ke Thailand,” jelasnya.

Seorang lelaki warga Thailand berusia 23 tahun ditahan sebelum dilepas dengan jaminan RM6,000.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *