KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan tindakan tegas termasuk melucut hak kenderaan milik syarikat dan pengendali berlesen yang menggajikan warga asing untuk memandu kenderaan perdagangan, berkuat kuasa hari ini.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Malaysia Muhammad Kifli Ma Hassan berkata tindakan itu melibatkan lori, kenderaan perkhidmatan awam (KPA) dan bas persiaran yang menggunakan khidmat pemandu warga asing bagi tujuan perkhidmatan.
Beliau berkata berdasarkan peraturan semasa, warga asing tidak dibenarkan memiliki Lesen Vokasional seperti Lesen Kenderaan Barangan (GDL) atau Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), dan sebarang pelanggaran adalah kesalahan serius.
“Dalam hal ini, tindakan penguatkuasaan boleh diambil mengikut Seksyen 22, 41, dan 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana melanggar syarat permit dan Seksyen 80 APAD 2010, iaitu pegawai boleh menyita dan dibawa ke mahkamah untuk melucuthakkan kenderaan syarikat perdagangan jika sabit kesalahan,” katanya dalam sidang media di Stesen Penguatkuasaan JPJ di Gombak di sini hari ini.
Beliau berkata tindakan itu susulan peningkatan trend syarikat dan pengendali berlesen menggajikan warga asing dengan bayaran sekitar RM2,500 sebulan serta terlibat dalam kesalahan berulang.
Muhammad Kifli berkata setakat Julai lepas, JPJ telah mengeluarkan 2,733 saman terhadap warga asing yang memandu kenderaan dagangan melibatkan 2,551 kes tiada GDL, 93 tiada PSV dan 89 kes lebih muatan.
“Syarikat dan pengendali berlesen dalam industri pengangkutan diseru sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memastikan setiap pekerja yang diambil memiliki dokumen serta kelayakan yang sah.
“Operasi pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain dan tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap pihak yang didapati melanggar mana-mana Akta Pengangkutan Jalan 1987, APAD 2010 dan akta lain yang berkaitan,“ katanya.
Sementara itu, dalam operasi di Selayang semalam, Muhammad Kifli berkata JPJ berjaya mengenal pasti seorang pemandu lori warga asing yang menggunakan MyKad dan lesen memandu palsu.
“Semakan lanjut mendapati kad pengenalan dan Lesen Memandu Kompeten (CDL) serta GDL adalah palsu…isu dokumen palsu ini merupakan kesalahan serius,” katanya menambah JPJ akan menyiasat sindiket yang terlibat mengeluarkan lesen palsu terbabit.
Dalam kes berasingan, seorang pemandu lori warga Indonesia turut ditahan di Sungai Pusu, Gombak kerana memandu tanpa sebarang dokumen dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut. – Bernama