KOTA BHARU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyediakan perkhidmatan melalui Bas Mekar bagi memudahkan urusan pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan.
Perkhidmatan ini beroperasi di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah permohonan kad pengenalan 12 tahun, gantian kad pengenalan rosak atau hilang, serta pertukaran alamat.
Pengunjung juga boleh melakukan urusan pendaftaran dan cabutan daftar kelahiran serta kematian.
Jurucakap JPN Kelantan berkata perkhidmatan bas bergerak ini beroperasi dari 9 pagi hingga 6 petang.
Setiap permohonan mengambil masa sekitar 30 minit untuk disiapkan.
“Permohonan kad pengenalan terbuka kepada mana-mana warganegara Malaysia, khususnya kanak-kanak berumur 12 tahun,” jelas jurucakap tersebut.
Pengunjung Mohd Shahir Khassin, 38, memuji kemudahan ini kerana menjimatkan masa berbanding berurusan di pejabat JPN.
“Dengan Bas Mekar, urusan lebih mudah dan selesai dalam 30 minit,” katanya.
Noraini Mat Isa, 35, pula berpeluang mendaftarkan kelahiran anak bongsunya yang berusia tiga minggu.
“Saya bersyukur tidak perlu ke pejabat JPN yang jauh,” ujarnya.
PMR 2025 Kelantan menawarkan lebih 100 perkhidmatan terus kepada rakyat.
Program ini diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan – BERNAMA