WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu menandatangani satu perintah eksekutif yang mengenakan tarif tambahan 25 peratus ke atas India sebagai tindak balas terhadap pembelian berterusan minyak Rusia oleh negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Rumah Putih.
“Bagi menangani darurat nasional yang diperincikan dalam Perintah Eksekutif 14066, saya memutuskan adalah perlu dan wajar untuk mengenakan duti ad valorem tambahan ke atas import barangan dari India, yang secara langsung atau tidak langsung mengimport minyak dari Persekutuan Rusia,“ menurut perintah itu.
Tarif itu akan berkuat kuasa dalam tempoh 21 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.
Perintah itu mengarahkan Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick dengan penyelarasan bersama Setiausaha Negara Marco Rubio dan Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent untuk menentukan sama ada mana-mana negara lain “secara langsung atau tidak langsung” mengimport minyak Rusia.
“Jika Setiausaha Perdagangan mendapati sesebuah negara mengimport minyak dari Persekutuan Rusia secara langsung atau tidak langsung, beliau selepas berunding dengan pegawai lain, hendaklah mengesyorkan sama ada dan sejauh mana tindakan perlu saya ambil terhadap negara itu, termasuk sama ada saya patut mengenakan kadar duti ad valorem tambahan sebanyak 25 peratus ke atas import barangan dari negara berkenaan,“ menurut perintah itu.
Trump pada Selasa berkata AS akan “membuat penentuan” mengenai sekatan terhadap negara yang membeli minyak Rusia selepas rundingan antara utusan khas AS Steve Witkoff dan pegawai Rusia di Moscow.
Beliau menuduh New Delhi meraih keuntungan daripada penjualan semula minyak Rusia.
Sebagai respons kepada perintah eksekutif itu, India menyifatkan langkah berkenaan sebagai “amat dikesali,” sambil menyatakan bahawa beberapa negara lain turut mengambil tindakan serupa demi kepentingan negara masing-masing.
“Tindakan ini “tidak adil, tidak berasas dan tidak munasabah,” menurut Kementerian Hal Ehwal Luar, sambil menambah bahawa New Delhi akan mengambil “segala tindakan yang perlu” untuk melindungi kepentingan negaranya – BERNAMA-ANADOLU