PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Peralatan Suruhanjaya Ketenteraan Pusat China Jeneral Xu Xueqiang di sini.
Anwar berkata pertemuan itu membincangkan perkembangan hubungan dua hala antara Malaysia dan China yang terus kukuh, khususnya dalam bidang keselamatan dan pertahanan.
“Malaysia menghargai kerjasama erat dengan China dalam aspek keselamatan termasuk latihan bersama, selain menekankan kepentingan kolaborasi dalam teknologi strategik,” katanya menerusi hantaran media sosial rasminya.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan terhadap peranan konstruktif yang dimainkan China dalam isu-isu serantau, termasuk usaha gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand serta sokongan berterusan dalam menangani krisis di Myanmar.
“Saya menzahirkan rasa hormat kepada kepimpinan tertinggi China dan menantikan peluang untuk bertemu Presiden Xi Jinping dan Premier Li Qiang awal bulan depan,” katanya.
Sementara itu, dalam hantaran di Facebooknya, Anwar memaklumkan pertemuan dengan kedua-dua menteri pertahanan itu amat bermakna kerana semua pihak terlibat mencapai kesepakatan penting untuk meneruskan dialog dan mengekalkan gencatan senjata di sempadan Thailand-Kemboja yang bermula sejak 28 Julai lepas.
Anwar berkata kesepakatan itu mencerminkan iltizam bersama untuk menjunjung keamanan dan kestabilan serantau yang amat mustahak dalam landskap geopolitik masa kini.
“Saya menghargai keyakinan yang diberikan oleh Thailand dan Kemboja kepada Malaysia untuk terus menerajui rundingan damai dan memantau situasi di sempadan, khususnya melalui peranan penting Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
“Alhamdulillah, kedua-dua negara turut mencapai beberapa persetujuan penting, termasuk komitmen untuk mematuhi sepenuhnya gencatan senjata tanpa sebarang bentuk serangan, tidak menambah kekuatan atau mengubah penempatan tentera, mengelak tindakan provokatif, serta menjamin perlindungan terhadap orang awam dan infrastruktur awam,” katanya.
Anwar berkata pertemuan itu turut membincangkan cadangan penempatan Pasukan Pemerhati ASEAN ( AOT) bagi membantu usaha pemantauan, bantuan kemanusiaan serta pengurusan perubatan di kawasan sempadan.
“Insya-Allah, saya dan seluruh pasukan Malaysia akan terus berusaha menyokong proses damai ini atas kepercayaan dan keyakinan bahawa keamanan yang berkekalan hanya boleh dicapai melalui dialog, persahabatan dan keikhlasan,” katanya.
Pada petang ini, delegasi Thailand dan Kemboja dijadual mengadakan Mesyuarat GBC Luar Biasa di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia berkaitan isu sempadan- BERNAMA