Warga emas maut dipukul anak kandung di Kuala Gris, suspek positif dadah

KUALA KRAI: Seorang lelaki warga emas maut dipercayai dipukul anak kandungnya menggunakan objek tumpul di Kampung Baru Kuala Gris, Dabong.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.30 pagi.

Mangsa, Othman Jusoh, 74, ditemukan terbaring berlumuran darah di ruang dapur.

Siasatan awal mendapati mangsa dipukul di bahagian kepala sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Polis berjaya menahan suspek lelaki berumur 39 tahun dan merampas serpihan kerusi yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

Saringan air kencing suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Suspek juga bekas banduan Penjara Satelit Batu Jong yang dibebaskan awal Julai lepas atas kesalahan dadah.

Sejak dibebaskan, suspek tinggal bersama mangsa dan ibu kandungnya.

Semakan rekod menunjukkan suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau, termasuk lima kes dadah dan dua kes ugutan.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok bagi permohonan tahanan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Isteri mangsa, Rohana Che Daud, 63, berkata dia sedang bersiap ke surau ketika kejadian berlaku.

Apabila pulang, dia melihat anak sulungnya menekan kerusi kayu pada leher suaminya.

Jiran mangsa, Tuan Noor Azwanis Tuan Mohamad, 38, mendengar jeritan meminta tolong selepas solat subuh. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *