JASIN: Tiga individu masing-masing seorang pekerja pasar raya, mekanik dan pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jasin bulan lepas.
Tertuduh, M. Yogeswaran, 25; Mohd Azmi Mohd Nor, 34, dan K. Krishnamorthy, 66, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu dan Tamil oleh jurubahasa mahkamah. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Yogeswaran, Mohd Azmi dan Krishnamorthy didakwa mencapai niat bersama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian K. Gunalan, 52, di tempat letak kereta di hadapan sebuah tadika di Bandar Jasin Bestari di sini antara pukul 7.37 malam dan 8.59 malam pada 27 Julai lepas.
Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan sebarang jaminan manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Amritpal Singh, Datuk K. Shashi Kumar dan A. Mathan.
Majistret Mazana Sinin tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 8 Sept depan bagi sebutan semula kes.
Pada 27 Julai lepas, seorang penganggur lelaki disahkan maut selepas dipercayai dipukul sekumpulan individu susulan tindakannya disyaki melakukan kelucahan melampau.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata mangsa berusia 51 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan. – Bernama